Thursday, June 14, 2007

Masalah obesiti


Adakah masalah obesiti di negara kita ini serius?
Cuba hayati keratan berita dibawah ini.


laporan khas
Disiplin makan rakyat Malaysia teruk
KUALA LUMPUR 23 Feb. – Budaya makan keterlaluan dan tanpa mengira waktu menjadi punca pelbagai penyakit termasuk kegemukan atau obesiti di kalangan rakyat Malaysia.
Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia, Dr. Tee E Siong berkata, kebanyakan rakyat negara ini kurang berdisiplin dalam soal pemakanan seperti makan makanan yang digemari secara berlebihan dan tidak peduli jika mengambilnya sebelum tidur. ‘‘Mereka makan pada waktu malam, sebagai contoh pada pukul 11 atau 12 malam dan selepas itu terus tidur. ‘‘Bagi penggemar roti canai atau nasi lemak pula makan tidak kira pagi atau malam, sampai 10 kali seminggu sedangkan itu tidak baik untuk kesihatan,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. E Siong berkata, budaya pemakanan seperti itu mengundang implikasi tidak baik kepada tubuh manusia.

Menurutnya, makan sebelum tidur menyukarkan proses penghadaman dan makanan akan disimpan menjadi lemak dalam tubuh badan. ‘‘Makan perlu berdisiplin, tidak salah sekiranya roti canai atau nasi lemak diganti dengan bubur sekali-sekala,’’ jelasnya. Selain itu, beliau mengaitkan Jepun dan Korea sebagai contoh negara yang maju dan rendah masalah kegemukan di kalangan rakyatnya. Menurutnya, budaya pemakanan masyarakat negara itu lebih berdisiplin serta tidak keterlaluan kerana tahap pengetahuan mereka yang tinggi mengenai aspek kesihatan pemakanan. ‘‘Kebanyakan mereka makan makanan yang direbus, sayur-sayuran dan rendah lemak serta mempunyai waktu makan yang teratur. ‘‘Di sini, kita gemar masakan bersantan, bergoreng, ditambah pula merokok, kurang senaman dan makan tak kira waktu,’’ katanya.

Sementara itu, Timbalan Dekan Fakulti Sains dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr. Kamaruddin Mohd. Said berkata, budaya pemakanan di kalangan rakyat Malaysia perlu diubah bagi menggalakkan gaya hidup yang sihat. Menurutnya, masyarakat masih kurang berdisiplin serta mempunyai sikap yang terlalu obses terhadap sesuatu makanan.


rencana
Memahami erti makanan segera

PROFESOR MADYA DR. AZIZAH ABD. HAMID.
MUKADIMAHMAKANAN segera bukan sekadar makanan yang dijual di rangkaian restoran fast foods. Itu kata Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi dan Pengantarabangsaan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr. Azizah Abd. Hamid. Beliau memberitahu demikian ketika diminta memberi definisi makanan segera yang sudah menjadi bualan hangat masyarakat sejak kebelakangan ini. Semuanya ini timbul apabila Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek mencadangkan supaya iklan makanan segera diharamkan. Bagi Dr. Azizah juga, bukan semuanya makanan segera tidak berkhasiat atau menjadi punca kepada penyakit kronik.


keluarga
Bijak makan kesihatan terjamin
Oleh: MERAN ABU BAKAR

KITA boleh bermegah dengan negara kita yang dikenali sebagai syurga makanan. Idamilah apa sahaja jenis makanan, pasti mampu mendapatkannya dengan harga yang berpatutan. Namun, label syurga makanan itu menimbulkan masalah lain kepada penduduknya. Malaysia dikatakan menghadapi masalah obesiti paling teruk dan perlu diatasi segera jika kita tidak mahu rakyat menghadapi pelbagai jenis penyakit kronik.
Masalah obesiti atau kegemukan dapat diatasi jika kita mempunyai semangat yang kuat untuk mengubah corak pemakanan kita. Dengan mengamalkan bijak makan, seseorang itu pasti akan mencapai berat badan unggul dan dapat menjauhi pelbagai jenis penyakit yang boleh membahayakan kesihatan. Menurut Penolong Pengarah (Pemakanan), Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, Jabatan Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan, Mohd Khairulnizam Baharum, wanita khususnya yang telah berkahwin dan bersalin, amat mengimpikan untuk memiliki semula bentuk badan seperti semasa anak dara dahulu. “Impian itu akan menjadi kenyataan jika seseorang wanita itu menjaga pemakanannya dan tidak lupa bersenam,’’ kata.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah bertajuk Bijak Makan: Cara Mencapai Berat Badan Unggul’ pada Kursus Bersiri Pembangunan Keluarga - Pemakanan Bestari, Keluarga Berkualiti anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Tambahnya, berbanding lelaki, wanita menghadapi banyak godaan untuk makan. Contohnya, jika suami atau anak tidak habis makan, isteri atau ibu yang ‘menolong’ menghabiskannya.


muka hadapan
Makan luar lewat malam, 40% budak makin gemuk

Oleh: RAJMAH HASAN KUALA TERENGGANU 8 Jun – Dianggarkan 40 peratus kanak-kanak di Lembah Klang mengalami masalah kegemukan atau obesiti disebabkan gaya hidup ibu bapa yang gemar membawa keluarga makan di luar selepas pukul 10 malam. Presiden Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA), Profesor Dr. Zulkifli Ismail berkata, budaya makan di luar semakin sinonim dengan gaya hidup masyarakat di kawasan itu berikutan taraf sosio-ekonomi yang semakin baik. Beliau yang bimbang dengan perkembangan itu berkata, masalah tersebut harus diberi perhatian lebih serius memandangkan berat badan berlebihan boleh membawa risiko penyakit kronik iaitu darah tinggi, kencing manis dan jantung di kalangan kanak-kanak.

Menurutnya, walaupun tiada kajian menyeluruh dilakukan, namun berdasarkan gaya hidup yang diamalkan masyarakat kini, ia menyumbang kepada peningkatan kadar obesiti kanak-kanak. “Umpamanya saya lihat kebanyakan ibu bapa di Selangor gemar membawa seisi keluarga makan di restoran selepas pukul 10 malam. Ini bukan gaya hidup yang sihat, justeru ia perlu ditukar. “Kanak-kanak yang mengalami obesiti lazimnya akan membesar sebagai orang dewasa yang gemuk dan terdedah kepada pelbagai jenis penyakit berbahaya iaitu darah tinggi, kencing manis, jantung dan barah,” katanya.

Zulkifli berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Kongres Saintifik Tahunan MPA ke-29 yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh di Primula Beach Resort di sini hari ini.

dalam negeri
Sejuta wanita Malaysia makin gebu, gempal, gemuk
Oleh Norliza Abd. Rahman
PUTRAJAYA 12 Jun – Kajian Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan menunjukkan hampir 20 peratus penduduk dewasa dan 21 peratus kanak-kanak di negara ini mengalami ‘Masalah 3G’ iaitu Gebu, Gempal dan Gemuk. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata, kajian tahun lalu itu menunjukkan satu juta atau 18.8 peratus wanita berusia 25 hingga 64 tahun adalah gemuk, manakala bagi lelaki sebanyak 13.9 peratus atau 850,000 orang. Beliau berkata, ini bermakna bagi setiap 100 orang di kalangan mereka yang berumur 25 hingga 64 tahun, terdapat 14 orang lelaki yang gemuk sementara bagi wanita pula seramai 19 orang.

Trend obesiti yang serupa, katanya, turut melanda kanak-kanak. Kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke atas 12,000 murid sekolah di Semenanjung Malaysia menunjukkan 10.5 peratus daripada mereka berlebihan berat badan dan enam peratus dikategorikan sebagai gemuk. ‘‘Kalau dulu mungkin orang yang gebu, gempal serta gemuk dikatakan sihat dan sejahtera tetapi kini tidak lagi kerana ia menjurus kepada bahaya dan bencana.

kesihatan
Obesiti `ibu' segala penyakit
ADA banyak faktor mengapa seseorang itu berkeinginan dan merasakan menurunkan berat badan adalah satu kemestian. Mungkin, bagi sebahagian besar wanita, ia berkait rapat dengan faktor kosmetik. Tetapi, hari ini, masalah berat badan berlebihan lebih daripada itu. Ia sebenarnya, adalah ancaman kepada kesihatan atau lebih sinonim sebagai `ibu segala penyakit'.
Tanpa disedari, berat badan berlebihan atau yang lebih serius lagi, diklasifikasikan sebagai obesiti mengundang 1,001 jenis penyakit. Dari hujung rambut hinggalah ke hujung kaki, tiada bahagian tubuh yang `bebas' dijangkiti penyakit, andai lemak dibiar menyalut diri.Antaranya, angin ahmar, masalah pernafasan, penyakit jantung, diabetes, kanser, batu hempedu, ketidakseimbangan hormon dan sebagainya.

Atas alasan inilah, ramai yang berusaha menurunkan berat badan dengan menyertai pelbagai program pengurusan berat badan. Namun, apa yang mengecewakan, sasaran berat badan yang ingin diturunkan kepada individu terbabit umpama tidak berpijak di `bumi nyata'. ``Ini jelas dapat dilihat melalui promosi iklan-iklan program menurunkan berat badan yang mensasarkan bentuk badan langsing seperti seorang model wanita,'' demikian menurut, Pakar Perunding Endokrin, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Prof. Datuk Dr. Khalid Abdul Kadir.

kesihatan
Individu obes mati lebih awal
MASALAH berat badan berlebihan, jika tidak dikawal menyebabkan individu terbabit mengalami obesiti. Seperti tabiat merokok, kesan yang ditanggung oleh mereka yang obes ketika usia pertengahan tidak banyak bezanya. Kajian yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik Belanda mendapati, jangka hayat mereka yang obes lebih pendek berbanding mereka yang kurus. Mereka dikatakan meninggal dunia tiga tahun lebih awal berbanding mereka yang kurus.

Sejak dahulu lagi, ahli-ahli sains mengetahui bahawa mereka yang obes tidak panjang umur.
Laporan David B. Caruso yang dipetik dari Associated Press menjelaskan, secara puratanya, bukan perokok yang diklasifikasikan mempunyai berat badan berlebihan tetapi tidak obes hilang tiga tahun jangka hayat mereka. Secara purata, individu perempuan yang obes, kehilangan lebih banyak jangka hayat mereka berbanding lelaki yang obes.


kesihatan
Pil langsing yang membunuh
Oleh Najibah Hassan

JARANG benar jalan cerita atau watak-watak yang dilakonkan dalam sesebuah drama atau filem yang kita tonton itu akan berlaku seumpamanya di alam nyata. Tetapi, apa yang berlaku di Singapura, Mei dua tahun lalu telah menceritakan kisah benar yang menyentuh hati dan perasaan. Ia benar-benar seperti sebuah drama yang telah disusun jalan ceritanya. Di mana pada klimaks sesebuah cerita, seorang hero tiba-tiba muncul untuk menyelamatkan heroinnya.

Kali ini, ia menceritakan sebuah drama kehidupan dua orang pelakon yang benar-benar terjadi yang memaparkan ketulusan hati seorang insan. Ia mengisahkan kesanggupan Pierre Png, seorang pelakon dari Singapura `berkongsi' hati dengan tunangnya, Andrea De Cruz.
De Cruz, 30, yang juga seorang pelakon, nyaris menemui ajal kerana mengalami kegagalan fungsi hati akut gara-gara mengambil pil langsing.


keluarga
Pil pelangsing - Jangan ambil risiko
Oleh Roslah Othman

TIGA tahun lalu, masyarakat dunia dikejutkan dengan kisah seorang pelakon Singapura, Andrea De Cruz, yang nyaris maut gara-gara mengambil pil pelangsing. Insiden itu benar-benar memberi kesan dan menginsafkan kalangan wanita yang sebelum itu telah dan berhasrat mencuba kaedah sama, semata-mata mahu memperoleh bentuk badan idaman. De Cruz yang mengalami kegagalan fungsi hati secara tiba-tiba, terpaksa menjalani pemindahan hati untuk menyelamatkan nyawanya.

Walaupun memenangi kes saman terhadap pengedar pil itu dan diberi ganti rugi berjumlah hampir S$900,000 (RM1.9 juta) oleh Mahkamah Tinggi, belum tentu peristiwa itu dapat dilupakan begitu sahaja. Yang pasti ia meninggalkan trauma kepada wanita yang pernah bercita-cita menjadi ratu cantik dunia semasa kecilnya itu. Antaranya, melibatkan seorang pekerja pusat hiburan di Kuantan, Pahang,yang dikatakan mengambil ubat melangsingkan badan dan alkohol secara berlebihan. Turut dikaitkan seorang kakitangan Kementerian Kesihatan, Rosni Mat, 24,.


muka hadapan
Ada iklan pelangsing di TV tanpa kelulusan

MUAR 11 Mac – Ada stesen-stesen televisyen didapati masih menyiarkan iklan produk pelangsing badan tanpa mendapatkan kelulusan daripada Lembaga Iklan Ubat-ubatan Kementerian Kesihatan, sebagaimana diwajibkan ke atas semua media cetak dan elektronik.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata, ini berlaku disebabkan kelemahan penguatkuasaan terhadap peraturan itu. “Kita selalu minta stesen televisyen supaya merujuk kepada Lembaga Iklan Ubat- ubatan Kementerian Kesihatan sebelum menyiarkan iklan berkaitan dengan ubat- ubat termasuk pil pelangsing badan. Malangnya, sebahagian daripada stesen televisyen itu tidak melakukannya,” katanya selepas menghadiri majlis jamuan makan malam anjuran MCA bahagian Ledang di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai aduan ada antara wanita yang mengalami masalah buah pinggang selepas mengambil pelangsing badan untuk mengurangkan berat badan. Beliau seterusnya menegaskan bahawa tidak ada cara mudah untuk mengurangkan berat badan seseorang, kecuali dengan amalan pemakanan dan senaman.

“Kita nasihatkan mereka yang ingin ambil ubat-ubat sedemikian, supaya minta nasihat doktor terlebih dahulu, kemudian pastikan ubat-ubat ini mesti sudah diluluskan oleh Kementerian Kesihatan. “Kalau sesuatu ubat pelangsing badan itu benar


dalam negeri
Jamu langsing boleh sebabkan hati rosak
Oleh: NURUL ANUAR KARI

KUALA LUMPUR 31 Mac – Jamu langsing badan yang tidak diluluskan mungkin tercemar dengan pelbagai toksin hingga menyebabkan kerosakan hati yang serius kepada pengguna.

Pakar Perunding Perubatan dan kardiologi, Hospital Pakar Putra, Melaka, Datuk Dr. Nor Izham Aziz berkata, hati yang menjadi penapis toksin badan menjadi organ pertama mengalami kerosakan jika pengguna mengambil jamu pelangsing yang tidak diketahui kandungan bahannya. ‘‘Kerosakan ini boleh berlaku dalam masa beberapa hari sahaja bergantung kepada kepekatan dos toksin (dalam ubat pelangsing) yang diambil pengguna.

‘‘Masalah utama ialah kita tidak tahu bahan yang digunakan untuk membuat ubat langsing itu dan juga ukuran dos bahan kimia. ‘‘Tambahan pula, ada individu yang alah (alergi) kepada bahan tertentu yang mungkin terdapat dalam ubat pelangsing yang dimakan,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.


muka hadapan
Taktik kotor pengeluar ubat


‘‘Masa kita uji tidak ada masalah tetapi apabila diedarkan di pasaran mereka akan mencampur dengan kandungan yang tidak dibenarkan seperti yang saya sebut tadi,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Badruddin Amiruldin (BN-Jerai) pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.Beliau menegaskan, kementerian sedar dengan kewujudan gejala tidak bertanggungjawab itu dan akan meningkatkan operasi serbuan bagi mengatasinya.

Terdahulu, menjawab soalan asal Badruddin, Kah Choon berkata, setakat ini, pihak berkuasa kawalan dadah (PBKD) tidak menerima sebarang laporan mengenai produk pelangsing badan yang telah menyebabkan kematian, walaupun terdapat laporan akhbar yang mengaitkannya dengan pengambilan dua pil pelangsing keluaran tradisional iaitu kapsul Kintop dan Bioflush pada 2004. Katanya, melalui program pemantauan produk di pasaran, kementerian telah mengesan kapsul Kintop yang berdaftar dengan PBKD mengandungi Subuteramine, iaitu sejenis bahan yang tidak dibenarkan. Justeru pada 24 Ogos lalu, menurutnya, pendaftaran kapsul berkenaan telah dibatalkan


laporan khas
Kerana ingin langsing, belanja sampai RM100,000

MUKADIMAHTERLEBIH berat badan dan obesiti dilaporkan menjadi masalah global dengan kajian Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menunjukkan kira-kira 3.6 bilion penduduk dunia berdepan dengan masalah tersebut. Di Malaysia sahaja, Kajian Kesihatan dan Kematian Kebangsaan (NHMS) pada tahun 1996, mendapati kira-kira 15 peratus lelaki dan 18 peratus wanita daripada anggaran 21 juta penduduk, mempunyai berat badan berlebihan (tidak ideal). Daripada jumlah itu, tiga peratus lelaki dan lapan peratus wanita dikelaskan sebagai obesiti.

Pertambahan bilangan penduduk dengan berat badan berlebihan turut mendorong kewujudan pusat-pusat kecantikan yang dikatakan umpama cendawan tumbuh selepas hujan dengan menawarkan pelbagai program mengurus atau melangsingkan badan. Rawatan tersebut dikatakan memakan belanja ribuan ringgit.


laporan khas
3.6 bilion penduduk dunia gemuk

GEMUK, obesiti dan langsing – tiga perkataan yang begitu sinonim untuk menggambarkan bentuk badan seseorang individu. Satu kajian menunjukkan, kegemukan dan obesiti kini menjadi masalah di seluruh dunia, di mana 3.6 bilion penduduk bumi mempunyai Indeks Jisim Tubuh (BMI) 23.4, paras yang dikategorikan sebagai terlebih berat badan.

Malah, di Malaysia sendiri, hasil Kajian Kesihatan dan Kematian Kebangsaan (NHMS) pada tahun 1996 menunjukkan, 15.1 peratus lelaki dan 18 peratus wanita daripada kira-kira 21 juta penduduk negara ini berada dalam kategori berkenaan. Daripada jumlah tersebut, tiga peratus di kalangan lelaki dikelaskan sebagai obes, sementara wanita pula 5.7 peratus.

Menurut Pakar Perunding Perubatan dan Kardiologi Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Kol. (B) Dr. Abd. Rahman Mohd. Ali, kajian yang dijalankan juga mendapati, masalah kegemukan dan obesiti di kalangan remaja turut menunjukkan peningkatan ketara kepada enam peratus pada 1997 berbanding satu peratus pada tahun 1990. Beliau berkata, kesedaran di kalangan mereka yang dikatakan sebagai gemuk dan obes untuk mendapatkan rawatan bagi mengurangkan berat badan bagaimanapun semakin meningkat.

“Kebanyakannya mengurangkan berat badan disebabkan faktor imej iaitu hendak menjadi lebih langsing dan bukannya mahu mengurangkan risiko akibat berlebihan berat badan,’’ katanya kepada Utusan Malaysia dalam satu pertemuan di pejabatnya di sini, baru-baru ini. Obesiti diukur dengan Indeks Jisim Tubuh (BMI) iaitu nisbah berat dalam kilogram (kg) dibandingkan dengan ketinggian dalam meter (m) seseorang. Dr. Abd. Rahman berkata, mereka yang mempunyai berat badan berlebihan atau obes, terdedah kepada pelbagai risiko seperti:

* masalah jantung.
* kencing manis.
* penyakit sendi atau tulang.
* tekanan darah tinggi.
* gout.
* batu hempedu.
* penyakit hati.
* sukar mendapat zuriat.
* sukar tidur.
* masalah sosial seperti sukar mendapat kerja dan dipinggirkan.

Sehubungan itu katanya, terdapat beberapa kaedah untuk melangsingkan badan dan terbaik adalah melalui diet, latihan dan perubahan tingkah laku. Selain itu, bagi mereka yang dikelaskan sebagai obesiti melampau, pengurangan berat badan juga boleh dilakukan melalui pembedahan melalui kaedah lencongan aliran pemakanan, mengikat tali perut atau gusi. Beliau bagaimanapun menjelaskan, pengurangan berat badan sebaiknya dilakukan secara terancang dan tidak mendadak.

‘‘Lazimnya, mereka yang mengalami penurunan berat badan dalam masa singkat akan menghadapi masalah seperti tidak boleh menyesuaikan perubahan tersebut dan tidak boleh mengekalkan bentuk badan yang baru sehingga menyebabkan berat badan kembali naik secara mendadak,’’ katanya. Mengulas pengambilan ubat pelangsing badan pula, Dr. Abd. Rahman berkata, ia sepatutnya digunakan sebagai kaedah sampingan untuk mengekalkan bentuk badan yang kembali langsing.


laporan khas

Bukan semua program boleh kuruskan badan

TIDAK semua program melangsing badan yang ditawarkan oleh pusat kecantikan boleh mengurus atau merampingkan badan anda. Sebaliknya, pemakanan dan penggunaan sesetengah ubat-ubatan khususnya herba tanpa kawalan dan pemantauan doktor bertauliah, boleh memberi impak kepada kesihatan anda.


laporan khas
Kos tinggi rampingkan badan

MUKADIMAHTERLEBIH berat badan dan obesiti dilaporkan menjadi masalah global dengan kajian Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menunjukkan kira-kira 3.6 bilion penduduk dunia berdepan dengan masalah tersebut. Di Malaysia, Kajian Kesihatan dan Kematian Kebangsaan (NHMS) pada tahun 1996, mendapati kira-kira 15 peratus lelaki dan 18 peratus wanita daripada anggaran 21 juta penduduk, mempunyai berat badan berlebihan (tidak ideal). Daripada jumlah itu, tiga peratus lelaki dan lapan peratus wanita dikelaskan sebagai obesiti.

Pertambahan bilangan penduduk dengan berat badan berlebihan turut mendorong kewujudan pusat-pusat kecantikan yang dikatakan umpama cendawan tumbuh selepas hujan dengan menawarkan pelbagai program mengurus atau melangsingkan badan. Rawatan tersebut dikatakan memakan belanja ribuan ringgit. Persoalannya, sejauh mana ia dapat menguruskan badan. Bagaimana pula dengan penggunaan ubat-ubatan moden dan tradisional?

Wartawan YULPISMAN ASLI dan WAN SYAMSUL AMLY WAN SEADEY cuba mengupas isu-isu berkaitan program melangsingkan badan yang semakin menjadi tarikan khususnya di kalangan warga Kuala Lumpur. KEWUJUDAN pusat pelangsing di bandar-bandar besar di negara ini diibaratkan seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan berikutan permintaan yang tinggi terutama daripada kalangan wanita.

Pusat-pusat ini menawarkan pelbagai pakej dan jaminan istimewa yang memerlukan pengunjungnya ‘berkorban’ sejumlah wang untuk mengikuti rawatan, memakan beberapa jenis makanan kesihatan serta pil langsing yang menjanjikan badan kurus dalam masa yang amat singkat.

Persoalannya, sejauh manakah ubat- ubat ini dapat mengurangkan berat badan? Adakah ia telah menjalani ujian saintifik di makmal? Adakah pil-pil yang diberi itu mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan atau hanya sebagai gimik syarikat tertentu untuk melariskan produk mereka?

Berdasarkan kepada beberapa kes, terdapat pusat pelangsing yang menggunakan pelbagai pil yang diragui ketulenannya dan dikhuatiri boleh membawa mudarat. Apa yang nyata, bayaran perkhidmatan yang dikenakan kepada pelanggan adalah tinggi dan mengejutkan orang ramai. Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa pusat pelangsing di Bukit Bintang, Ampang dan Damansara di sini mendapati pakej permulaan yang ditawarkan adalah antara RM2,000 sehingga RM8,000.

Seorang perunding kanan pusat pelangsing di Bukit Bintang, Jean Cheah berkata, dia memberi jaminan kepada pelanggan untuk ramping sekurang- kurangnya selepas tiga minggu menyertai programnya. ‘‘Syaratnya pelanggan mesti mematuhi diet dan memakan pil yang dibekalkan.

‘‘Mereka juga perlu menghadiri beberapa proses urutan badan memecah lemak sekali seminggu,’’ katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini. Jelasnya, pelanggan perlu membayar serendah RM1,999 untuk rawatan pertama dan tambahan RM999 untuk rawatan susulan yang diterima.

Kawal berat badan tanpa belanja besar

PendapatDENGAN 3.6 bilion atau 3,600 juta penduduk dunia mengalami kegemukan pada waktu ini, tidak hairanlah kalau semua orang termasuk di Malaysia dengan jumlah terkini penduduknya sebanyak 26.18 juta sanggup berbuat apa sahaja termasuk bersedia untuk berbelanja besar bagi mengawal kegemukan.

Ini adalah kerana gemuk dan obesiti setidak-tidaknya akan mendedahkan seseorang itu kepada kemungkinan diserang 10 jenis penyakit serius termasuk yang membawa maut. Oleh itu tidak hairanlah jika permintaan terhadap ubat-ubatan serta rawatan melangsingkan badan semakin mendapat tempat sebagaimana popularnya ubat tenaga batin. Walaupun keberkesanannya masih belum dapat dibuktikan secara saintifik, namun orang ramai percaya membabi buta iklan-iklan melangsingkan badan ini.

Jika dilihat kepada kenyataan Pengarah Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), Darshan Singh, warga Kuala Lumpur sahaja menghabiskan sekurang-kurangnya RM9 juta setahun untuk melangsingkan badan di pusat-pusat pelangsingan, yakni bagi mengurang dan menghalang kegemukan.


Pun begitu, setiap seorang yang mahu melangsingkan badan terpaksa membelanjakan sehingga RM9,000 hingga RM13,000 bagi tujuan itu, namun hasilnya tidaklah sebagaimana yang dijanji dan dijamin. Baru-baru ini ada laporan mengenai kematian seorang suri rumah yang mengamalkan pemakanan pil kesihatan bagi menurunkan berat badan. Bermakna rawatan melangsingkan badan dan pil-pil bagi menurunkan berat badan bukan sahaja memberikan kesan sampingan, malah jika tidak kena gayanya boleh sampai membawa maut.


Kaji punca sebenar tubuh jadi gemuk.

SEJAK kebelakangan ini, berita-berita berkenaan program melangsingkan badan dan kesan buruknya hangat diperkatakan.Angka RM9 juta setahun perbelanjaan melangsingkan badan tentunya amat konservatif berbanding keadaan sebenar. Jika dianggarkan 15 ke 18 peratus daripada 24 juta orang penduduk Malaysia mengalami masalah berat badan berlebihan, ini menjadikan jumlah mereka 3.6 ke 4.32 juta orang. Sekiranya setiap orang boleh membelanjakan RM500 sahaja untuk sekali pembelian produk melangsingkan badan, maka jumlah perbelanjaan menjadi RM1.8 bilion ke RM2.16 bilion.

Maka, tidaklah memeranjatkan sekiranya terdapat begitu banyak syarikat dan orang persendirian yang mengambil kesempatan ke atas mereka. Tambahan pula, tiga hingga empat peratus daripada mereka berada pada tahap kritikal dan tidak tahu apa yang perlu dibuat.

Mereka terpaksa memikirkan yang mereka ditakdirkan menjadi obes. Mereka rela hidup terseksa dengan keadaan mereka, berjalan termengah-mengah, terpaksa mencari pakaian bersaiz XXXL, menghabiskan satu pertiga daripada pendapatan untuk makanan dan menanggung pelbagai penyakit dan kanser yang berkaitan dengan obesiti.

Sebenarnya menjadi kurus, gemuk atau obes adalah suatu pilihan. Setiap orang boleh memilih untuk menjadi kurus atau gemuk. Perbezaannya, pemilihan ini boleh dibuat secara sedar atau tidak. Ia bergantung kepada pengetahuan yang mereka peroleh. Sekiranya mereka memahami dan mengkaji bagaimana badan boleh gemuk dan kurus, mereka boleh memilih apakah jenis badan yang mereka kehendaki.

Banyak faktor yang menyebabkan manusia menjadi gemuk. Faktor-faktor dalaman seperti genetik dan penyakit memerlukan rawatan khusus dari pakar perubatan. Akan tetapi ramai yang menjadi gemuk disebabkan faktor luaran yang berkaitan perangai pemakanan keluarga, adat resam, kebudayaan, pengaruh rakan sebaya dan persekitaran yang menjadikan mereka cenderung menjadi obes.

Sekiranya mereka ini dilengkapkan dengan pengetahuan yang betul sejak dari kecil, tentunya mereka dapat membuat pilihan yang bijak dan tepat. Malangnya dalam banyak keadaan, mereka mendapat maklumat yang salah dan mengelirukan. Mereka yang terlibat dengan industri ini memberikan maklumat yang jauh menyimpang dari yang sepatutnya.

Apabila makanan menjadi racun bagi manusia
Oleh: ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)

ANDAI kata ada pihak yang meminta saya menulis sebuah novel konspirasi politik global, tema yang menarik ialah mengenai makanan dan kesihatan manusia. Begini, dalam novel itu, saya akan reka sebuah pertubuhan rahsia peringkat antarabangsa. Matlamat pertubuhan rahsia ini ialah untuk mengaut sebanyak keuntungan yang boleh.

Maka pertubuhan ini membuat kajian mengenai sifat manusia. Daripada penyelidikannya akan didapati bahawa manusia mempunyai dorongan untuk hidup sesedap mungkin dan selama mungkin. Pertubuhan rahsia ini mendapati bahawa dua naluri paling kuat memberi kesedapan kepada manusia, iaitu makanan dan seks. Manusia makan bukan hanya untuk kenyang atau tenaga, tetapi kerana rasanya sedap. Begitu juga dengan seks. Manusia melakukannya bukan saja untuk mendapatkan zuriat, tetapi kerana ia sedap.

Punca negara hadapi peningkatan kanser -- UK: Berat badan keterlaluan

LONDON 21 Mei – Peningkatan berat badan keterlaluan di kalangan rakyat negara ini boleh diibaratkan sebagai situasi “bom jangka kanser”, kata seorang pakar kesihatan hari ini.

Greg Martin, pengurus penyelidikan dan sains di Yayasan Penyelidikan Kanser Sedunia (WCRF) memberi amaran bahawa tindakan segera perlu dilakukan jika negara mahu mengurangkan bilangan pertambahan kes kanser. Katanya, kajian menunjukkan kanser boleh dicegah hingga 40 peratus melalui pemakanan seimbang dan kekerapan melakukan senaman, tetapi rakyat negara ini gagal mengambil berat kesihatan mereka. “Sejak akhir-akhir ini kita agak kurang memberi perhatian mengenai masalah berat badan dan ramai masih tidak sedar betapa dekatnya kaitan berat badan berlebihan atau obesiti dengan kanser.


Dengan pengetahuan Kurus dan Sihat Sepanjang Hayat, anda sendiri menentukan badan yang manakah yang anda mahu !!

No comments: